Sertailah Perjuangan Kami!

Thursday, 29 March 2012

5 SOALAN YANG TIDAK DAPAT DIJAWAB OLEH LIDAH


Kita dapati dalam kalangan manusia , ada yang menggunakan hujah sibuk sebagai alasan untuk banyak perkara. Apabila mereka gagal hadir dalam mesyuarat atau tidak dapat hadir ke sesuatu majlis tertentu, walaupun sudah menerima jemputan secara rasmi, atau yang jarang-jarang datang ke masjid untuk menunaikan solat jemaah, apabila ditanya, maka jawapannya mudah saja, iaitu ‘sibuk’.

Apakah ‘ sibuk’ itu alasan sebenar?

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. ada mengingatkan kita betapa masa itu sangat bernilai. Lantaran itu, masa lapang perlu dihargai. Keterbatasan masa yang dimiliki manusia tidak memungkinkan kita membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Jika usia seseorang 60 tahun, tidak bermakna memiliki masa lapang sejumlah itu juga kerana satu pertiga daripada usia manusia  terhakis percuma semasa tidur dan satu perenam pula berlalu semasa kanak-kanak, bakinya hanya 30 tahun saja.

Hanya separuh sahaja baki usia kita yang akan digunakan untuk menyiapkan sebanyak-banyak bekalan, untuk suatu pengembaraan yang jauh, iaitu perjalanan menuju akhirat. Sekiranya kita sedar bahawa kehidupan kita tidak akan surut ke belakang tentu kita akan merasakan bahawa masa sangat suntuk bagi menyiapkan bekalan. Kita juga mungkin tidak akan membiarkan kehidupan kita kosong tanpa diisi dengan program.

Peluang terakhir yang amat penting yang tidak mungkin dicuaikan ialah ‘ masa hidup sebelum datangnya saat kematian’. Manusia diberi peluang hidup selepas melalui proses kejadiannya yang sungguh unik, daripada berjuta benih di dalam sperma seorang ayah, hanya satu yang bernyawa dengan telur di dalam rahim ibu untuk proses hayat seterusnya.

Allah SWT mengurniakan hidup dengan kelahiran manusia daripada rahim ibu sebagai suatu rahmat yang mesti disyukuri kerana dia dipilih daripada  berjuta-juta benih itu. Jika Allah memilih benih lain, nescaya bukan kita yang dilahirkan. Oleh itu kita bukan hanya perlu bersyukur dengan hidup yang dikurniakan buat dirinya tetapi sewajarnya mengisi kehidupan tersebut. Mengisi hidup dengan program yang mendatangkan manfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat

 Allah SWT telah mengurniakan kepada hamba-Nya beberapa kesempatan, iaitu muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum datangnya waktu sibuk dan hidup sebelum mati.

Lima  kesempatan ini akan ditanya sebaik sahaja manusia dibangkitkan pada hari Mahsyar. Sayangnya yang menjawab kelak bukanlah lidah tetapi pengakuan dari setiap anggota yang bertanggungjawab melakukan segala tindakan sama ada amalan yang membawa markah dosa atau mendapat ganjaran pahala.

Sunday, 19 February 2012

Menggapai Cinta Rasulullah


Benarkah kita cinta Rasulullah? Kalau cinta, perlu ada bukti! Sedangkan kalau bercinta dengan lelaki yang tak halal, kita sanggup buktikan cinta kita pada dia. Sanggup habiskan duit untuk keluar jumpa dia. Sanggup belikan hadiah birthday dia yang kadang-kadang dia tak belikan apa-apa pun untuk kita sebab nature lelaki yang kadang-kadang tak ambil kisah. Cintanya kita pada seorang lelaki yang tak halal sehingga rela untuk tangan yang suci ini dipegang, diri yang bersih ini disentuh, sedangkan hakikat sebenar bila dia pegang sahaja tangan kita, bila dia berani menyentuh kita bermakna dia menghina maruah dan harga diri seorang muslimah! Dia tak pelihara kehormatan kita sebagai seorang wanita muslim yang sepatutnya secantik mawar berduri, melainkan dia menjadikan kita seperti gula-gula yang tiada pembalut. Yang jika tiba masanya akan jatuh ke lantai dan menjadi kotor. Dan selepas tu, adakah akan datang lelaki yang sanggup nak mengambil gula-gula yang dah dipenuhi kotoran tanah? Ini adalah bukti cinta kita pada dia. Dan dia? Lari mencari gula-gula yang baru.

Di kisahkan pada suatu hari ketika Rasulullah saw bersama-sama sahabatnya seraya baginda bertanya kepada mereka :

"Siapakah yang paling hebat imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.Para sahabat terdiam seketika.

Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi"."Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka".
"Mungkin kami," celah seorang sahabat
."Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu. "Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku,"suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga saudara-saudaramu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu dengan berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Rindunya Rasulullah pada kita...  Dan kita?
Lau kaana bainana.. Jika baginda berada di antara kita. Sedang menaip sms kepada lelaki yang tak halal bagi kita, kalau baginda berada di antara kita, sanggup tak kita tunjukkan sms yang sedang kita taip tu pada baginda s.a.w? Sedang kita bergayut di telefon dengan lelaki yang tak halal bagi kita, sanggup tak kita teruskan perbualan seandainya baginda berada bersama kita? Sedang kita buka facebook, tengok gambar-gambar lelaki yang tak halal bagi kita, bersedia ke kita untuk tak tutup apa yang sedang kita buat tu jika baginda berada disisi kita?

Lau kaana bainana, baginda adalah murabbi terbaik, pendidik terbaik. Cintanya kita pada baginda s.a.w, biarlah sehingga setiap apa yang kita lakukan, kita mampu tetap teruskan walaupun ketika sekiranya baginda berada di antara kita.
Biarlah mampu kita juga berkata kembali kepada Rasulullah,
"Ya Rasulullah pemilik cintaku selepas Allah, aku sungguh rindu hendak bertemu denganmu." Moga kitalah di antara umatnya yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. Amin!

Petikan daripada i Love Islam.com

Monday, 13 February 2012

Peringatan Buat Pelajar UPSI


Biro Latihan Dan Pembangunan Sahsiah, Kolej KHAR menyeru kepada semua mahasiswa mahasiswi khususnya di UPSI agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih serta meninggalkan perkara-perkara berikut:

  1. Keluar berpoya-poya bersama kekasih dan menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti dan majlis seumpamanya.
  2. Menghantar kad-kad ucapan valentine day di mana pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama Kristian.
  3. Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad, facebook dan sebagainya dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ia juga mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.
  4. Menghantar pesanan ringkas(sms) kepada kekasih untuk meluahkan rasa cinta dan saya ng bersempena Hari Kekasih.

Sesungguhnya perkara di atas juga termasuk perkara yang bertentangan dengan 
syariat islam


Awasilah Pergerakan Rakan-Rakan Anda!

Adukan kepada pihak berkuasa jika terdapat perkara-perkara yang mencurigakan anda

SAMA-SAMALAH KITA MENCEGAH SEBELUM PARAH!!!

Menyambut Valentine’s Day tetap ‘HARAM’


Tibanya 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Malah  ada juga yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya dalam  surah al-Israa’ ayat 32:

 Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:

Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.


Sunday, 5 February 2012

Sempena Kelahiran Junjungan Mulia:Selawat ke atas Rasulullah perintah Allah SWT.

Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?

Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).
Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.
Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.
1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.
2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.
Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).
3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.
4- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.
5- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.
6- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

Tuesday, 24 January 2012

TERAPI mendidik HATI


Kalau kita sakit seperti demam, batuk dan sebagainya kita akan mencari ubat di farmasi, klinik, homeopati, dukun atau hospital. Tapi kalau hati kita sakit, apa pula rawatannya. Pernahkah kita rasa hati kita sakit? Kalau hati sakit, apa akan jadi? Kata Imam al Ghazali, hati adalah raja. Hatilah penentu kecerdasan iman dan takwa kita.

Allah SWT amat memberikan perhatian kepada hati. Al Quran menggunakan istilah qalb (hati) sebanyak 132 kali, makna dasar kata itu ialah membalik, kembali, berubah atau naik-turun. Sesuai dengan latar belakangnya hati mempunyai sifat yang selalu berubah, sebab hati adalah nukleus dari kebaikan dan kejahatan, kebenaran dan kesalahan.

Hati kita unik, boleh jadi kuat, dinamik, juga boleh sakit dan menjadi buta. Firman Allah SWT.
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj:46)

Inilah yang menjadi masalah kepada hati manusia tatkala hatinya sudah menjadi buta. Tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Maka amat penting bagi kita wahai anak muda untuk sentiasa menjaga dan merawat hati kita agar jangan sampai buta. Buta!? Ala..hati yang buta bukan mata? Masih dapat melihat lagi. Ya ke? Cuba anda pejamkan sebentar mata anda. Apa yang anda nampak? Gelapkan? Sekarang cuba berjalan ke hadapan. Apa perasaan anda? Takut tersungkur atau terlanggar sesuatu? Susah bukan apabila mata buta. Selama ini boleh melihat dan memandang, tapi bila gelap kita akan rasa tidak selesa. Sekarang bayangkan kalau hati kita pula yang buta? Tidak mendapat petunjuk, hidayah dan kasih sayang Allah. Agaknya jika terus berjalan dalam keadaan hati buta, sudah banyak mana peraturan dan perintah Allah telah kita langgar? Makin parah walaupun hatinya sudah buta dan tersungkur di pintu neraka, dia masih tidak dapat merasai apa-apa pun. Bahkan dia terus berjalan dengan kesombongan dan keegoan menghimpun dosa-dosanya. Agaknya bagaimana pula keadaan kita apabila hati kita bukan sahaja buta, tetapi sudah mati?

Sesungguhnya telah Kami sediakan untuk penghuni neraka dari golongan jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah, mereka mempunyai mata, tetapi tidak dipergunakan untuk melihat, mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak , bahkan lebih sesat lagi. Mereka adalah orang-orang yang alpa (tidak berzikir) ” (Al-A’raf:17 )

Firman Allah SWT lagi:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Asy Syam: 9-10)

Meyakini Al Quran Terapi Bagi Segala Permasalahan

Kenapa Al Quran? Apa hubungkaitnya dengan hati dan kehidupan kita? Kita tahu bahawa Al Quran yang sama di baca oleh para pemuda pemudi Islam di zaman Rasulullah SAW lantas para pemuda ini bangkit menjadi luarbiasa hati dan jiwa mereka. Hati mereka solid, kukuh dan padu dengan Al Quran.
Hakikatnya Al Quran diturunkan ke dalam hati Rasulullah SAW untuk digunakan bagi membangun umat Islam yang wibawa dan berkualiti, bagi membangun peradaban manusia berpaksikan Al Quran serta merawat hati nurani, akhlak dan akal manusia.

Maka sudah tentulah terapi pertama dan utama dalam mendidik hati kita adalah Al Quran. Inilah solusi kepada permasalahan umat hari ini. Kita harus yakin dengan Al Quran, bukan sekadar yakin membaca Al Quran beroleh pahala, tetapi yakin bahawa Al Quran lebih daripada itu. Allah SWT berfirman, maksudnya,
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Firman Allah SWT lagi,maksudnya,
Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (al-Isra: 82)

Al Quran bukan sekadar sebuah syair atau puisi yang sedap dilagu-lagukan semata, tetapi ianya sebuah petunjuk bagaimana kita harus beraksi dan berprestasi di dunia berpaksikan wahyu dan terselamat dari azab. Firman-Nya:
(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.” (Yaasin:69-70)

Melalui ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa barangsiapa yang sentiasa memandang positif dan yakin dengan semua peringatan yang disampaikan Al-Quran  dan menjadi Al Quran sebagai cara hidupnya, maka ia akan mampu memiliki hati yang selalu hidup dan memiliki daya kesedaran yang tinggi. Dia akan berfikir, bertindak, berinteraksi, belajar, bekerja, berakhlak, berkahwin, berkerjaya dan hidup keseluruhannya berpaksikan Al-Quran, di bawah payungan hidayah Allah SWT dan akan sentiasa berada di bawah bimbingan-Nya.

Ibnu Kathir berkata dalam menjelaskan ayat di atas, kita harus faham bahawa menetapkan keimanan dalam hati akan selalu mendorong kita siap siaga beramal dan hidup menurut kehendak Allah. Sedangkan kekufuran yang ada dalam hati hanya akan mematikan aktiviti hati itu sendiri dan membuatnya mati.

Al-Quran telah menjelaskan tentang hakikat hati yang hidup, yakni hati yang dapat menerima ajaran Islam dan tenang bersamanya. Hati yang sebeginilah yang membuat pemiliknya selalu berada dalam tuntunan dan bimbingan-Nya. Dan di lain kesempatan, Al-Quran juga memberikan gambaran tentang hakikat hati yang mati  dengan segala kegersangan dan kegelapan. Firman Allah SWT:
“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Az-Zumar:22-23)

Tafsir Ibn Kathir dan Fizilal Quran menjelaskan ayat di atas bahawa hati bagi kaum muslimin adalah kehidupannya yang sarat dengan iman dan ajaran-ajaran-Nya sebagaimana tergarap dalam Al-Quran. Dengan kehidupan sebeginilah maka seseorang akan selalu bertaqwa kepada-Nya, yang kemudian berimplikasi pada kewaspadaannya dalam melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya serta selalu menaruh harapan agar Allah SWT selalu mengampuni semua kesalahan yang pernah dibuatnya. Juga akan berimplikasi pada semangatnya yang tinggi untuk menerima ajaran Al-Quran.

Rumusan akhir dari tulisan kali ini, jika kita ingin memperbaiki hati kita hendaklah kita sedar dan mengetahui bahawa berubat dengan Al-Quran itu tidak cukup hanya dengan membaca al-Quran sahaja, tetapi harus memahami, mengambil pelajaran dan mematuhi hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Punca kepada ketidakpatuhan dan ketidakmahuan untuk ikut dan komited dengan Al-Quran adalah kerana hatinya yang bermasalah, dikuasai nafsu syahwat dan syubhat.

Ibnu Qayyim berkata, “Inti penyakit hati itu adalah syubhat dan nafsu syahwat. Sedangkan Al-Quran adalah penawar bagi kedua penyakit itu,kerana di dalamnya terdapat penjelasan-penjelasan dan panduan yang tepat, yang membezakan antara yang haq dengan yang batil, sehingga penyakit syubhat hilang. Penyembuhan Al-Quran terhadap penyakit nafsu syahwat, kerana di dalam al-Qur’an terdapat hikmah, nasihat yang baik, mengajak zuhud di dunia dan lebih mengutamakan kehidupan akhirat.”

Marilah kita berdoa, Ya Allah, jadikanlah Al-Quran itu sebagai perawat, peneman, penawar hati, penguat dan penghilang kegundahan dan kegelisahan hati-hati kita.  Amin.

disediakan: N0or Fazilah


Saturday, 14 January 2012

Tenanglah Duhai Hati

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak. Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"
Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda.
Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...



Disediakan oleh: Cikgu Amirul

Jom Ziarah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...