Sertailah Perjuangan Kami!


Monday 26 December 2011

Mimpi Seekor Nyamuk


Seekor nyamuk memberitahu sahabatnya, seekor belalang hijau: “ Aku bermimpi semalam.”
“ Kau mimpi apa?”
“Aku bermimpi aku hisap darah segar kenyang-kenyang. Seronok sangat.”
“ Wah ,tu mimpi yang hebat!”
“ Ya dan aku sangat gembira.”
Belalang melihat perut sang nyamuk, kempis.
          Keesokan harinya, sang nyamuk bercerita lagi. “ Aku bermimpi indah lagi semalam. Kali lagi hebat. Aku mimpi, WHO (World Health  Organisation) telah mengharamkan penggunaan sebarang jenis  ubat nyamuk  sebab ia membawa kesan yang tidak baik untuk kesihatan. Wah , seronoknya! Tak perlulah lagi aku lari lintang pukang menyelamatkan diri setiap kali manusia guna ubat nyamuk.”
          “ Ha, ha, ha! Macam-macam mimpi kau. Aku ni tidur mati tiap-tiap malam.”
Sang nyamuk tergelak gembira dan menari-nari.
Hari yang berikutnya, sang belalang pula menegur sang nyamuk:
“ Engkau bermimpi indah lagi? Tersenyum memanjang.”
“ Tepat tekaan kau tu. Semalam aku bermimpi lagi hebat. Aku bermimpi nyamuk diiktiraf sebagai serangga yang dipelihara dan tidak boleh dibunuh. Wah, indahnya hidup ini!”
Sang belalang melihat lagi perut sang nyamuk. Makin kempis. Rupa-rupanya nyamuk masih tenggelam diulit mimpi.
Pengajaran : Ramai manusia hanya bermimpi dan berkhayal, namun hakikatnya tidak pernah melakukan apa-apa. Jangan jadi muslim yang menyangka mereka telah cukup amal sehingga berangan-angan pasti mendiami syurga, sebaliknya imbangilah amaln yang dilakukan denga campuran dua ramuan; khauf(takut) dan raja’ ( harap)...~ nor iman~

Bagaimana Islam Mengajar Apabila Tekanan







Keimanan: Kembali kepada Allah melalui ibadah-ibadah fardhu dan sunat yang lain.  Pasakkan dalam diri akan keyakinan bahawa Allah memberikan jalan keluar pada hamba-Nya yang meminta dan mengharap. Konsistenkan amalan supaya bukan sekadar dibuat apabila menghadapi masalah.

Tadabbur: Benar, kita tiada daya untuk melihat Allah , tetapi kita mempunyai bukti-bukti kebesaran Allah. Lihatlah alam yang terbentang luas. Memikirkan betapa Penyayangnya Allah apabila makhluk di dalam batu juga boleh hidup, inikan manusia sebagai khalifah yang menadah tangan dan memohon bantuan-Nya.


Zikir: Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : “(iaitu) orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah hati akan tenang.” (Surah al-Ra’d 13:28)

Berimaginasi: Bayangkan syurga yang cukup indah. Ada sungai arak dan susu yang mengalir, dilayan dengan bidadari yang cantik, tiada sedih, dan buruk sangka. Semuanya menggambarkan ketenangan . Fikirkan, layakkah kita menjejaki ke sana? Bagaimana harus kita ke sana? Syurga boleh menjadi motivasi supaya lebih kuat untuk menghadapi tekanan hidup.

Doa: Beza orang mukmin dengan yang lain adalah senjata mereka yamg dikenali sebagai doa. Doa penguat hubungan antara manusia dengan Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya akan aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong  takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam hina.” (Surah al- Mu’min : 60)
“SELAMAT BERAMAL SAHABAT” ~nor iman~

Saturday 17 December 2011

Bulan Safar


BULAN Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku
dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.
Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir.Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.
Antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada biasanya amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.
Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.
Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya:

"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.''
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik….Ahzam Murabbi

Jom Ziarah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...